Sunday 8 September 2013

Darah Tinggi - Punca dan cara kawalan yang berkesan






Di Malaysia, hipertensi merupakan masalah umum di mana-mana, menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datuk Dr. Azhari Rosman, seorang daripada tiga rakyat Malaysia berusia tiga puluh tahun ke atas menghidapinya.

Hanya enam daripada 100 orang dapat mengawal tekanan darah mereka.

``Lebih membimbangkan, hanya lebih sedikit daripada satu per lima (dua puluh tiga peratus) rakyat Malaysia yang menghidap tekanan darah tinggi sedang mengambil ubat,'' katanya.

Beliau yang juga Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN) berkata demikian pada majlis pelancaran Co-Diovan 160/25mg, satu formula baru bagi rawatan hipertensi daripada Novartis.

Menurutnya, statistik tersebut menunjukkan jurang rawatan yang serius membabitkan pesakit dan juga doktor. 

``Masyarakat perubatan dan orang ramai mesti mengubah sikap mereka terhadap bahaya masalah ini dan menyedari keperluan merawat hipertensi secara agresif di peringkat awal.''

Kajian Kesihatan dan Kemorbidan Kebangsaan pada tahun hadapan akan membuat penyiasatan lanjut ke atas 70,000 rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas untuk membuktikan penularan penyakit hipertensi, kardiovaskular dan diabetes di negara ini.

Persatuan Hipertensi Antarabangsa meramalkan bahawa sehingga 42 peratus daripada penduduk dunia atau hampir seorang daripada dua orang dewasa akan menghidap penyakit hipertensi menjelang tahun 2020.

Apa itu tekanan darah tinggi?

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko menghidap sakit jantung dan/atau sakit buah pinggang, juga strok.

Penyakit darah tinggi amat berbahaya kerana kebiasaannya tiada tanda amaran mahupun gejala.

Sesiapa sahaja, tidak kira bangsa, usia mahupun jantina boleh menghidap sakit darah tinggi.

Dari saat mula anda menghidap sakit darah tinggi, ia biasanya berkekalan seumur hidup. Anda boleh mencegah dan mengawal tekanan darah tinggi dengan mengambil langkah-langkah tertentu.


Punca

- Penyebab tekanan darah tinggi pelbagai. Ini termasuklah penyempitan arteri, isi padu darah yang lebih dari normal, atau denyutan jantung yang pantas atau lebih kuat dari sepatutnya.

Sebarang keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan terhadap dinding arteri.

Tekanan darah tinggi mungkin juga disebabkan oleh masalah-masalah perubatan lain. Pada kebiasaannya, punca tidak diketahui. Biarpun tekanan darah tinggi tidak boleh disembuhkan namun, dalam kebanyakan kes, ia mampu dicegah dan dikawal.

- Strok/otak: Tekanan darah tinggi adalah faktor utama risiko strok. Tekanan darah yang amat tinggi boleh menyebabkan kebocoran pada salur darah yang lemah dan kemudiannya mengalir ke otak.

Ini boleh mengakibatkan strok. Sekiranya salah satu arteri kecil tersumbat oleh darah beku, strok boleh juga terjadi.

- Gangguan penglihatan/mata: Tekanan darah tinggi lama-kelamaan boleh menyebabkan saluran darah di mata pecah atau berdarah. Penglihatan mungkin kabur atau terjejas dan boleh mengakibatkan buta.

- Arteri/arteri: Semakin meningkat usia, arteri menjadi semakin keras terutama arteri di jantung, otak dan buah pinggang.

Tekanan darah yang tinggi dikaitkan sebagai punca arteri mengeras. Ini seterusnya menyebabkan jantung dan buah pinggang terpaksa bekerja lebih. 

- Kerosakan buah pinggang/buah pinggang: Buah pinggang bertindak sebagai penapis yang menyingkirkan bahan-bahan kumuhan badan.

Tekanan darah tinggi lama-kelamaan boleh menyempitkan salur darah melalui penebalan dinding saluran darah pada buah pinggang.

Proses penapisan oleh buah pinggang terjejas di mana kurang bendalir ditapis, seterusnya menyebabkan bahan kumuhan terkumpul di dalam darah.

Buah pinggang mungkin gagal sepenuhnya. Apabila ini berlaku, rawatan perubatan sama ada dialisis atau pemindahan buah pinggang mungkin diperlukan.

- Serangan jantung/jantung: Tekanan darah tinggi adalah faktor utama risiko serangan jantung.

Arteri berperanan membawa darah beroksigen ke otot jantung. Sekiranya jantung tidak mendapat cukup oksigen, sakit dada atau lebih dikenali sebagai angina boleh berlaku.

Jika aliran udara tersekat, serangan jantung terjadi.

Kegagalan jantung kongestif

Tekanan darah tinggi adalah faktor utama kegagalan jantung kongestif. Ia adalah masalah serius di mana jantung gagal mengepam darah yang secukupnya bagi keperluan tubuh badan.


Langkah-langkah pencegahan

Anda boleh mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan tekanan darah tinggi dengan mengamalkan gaya hidup sihat. 

Langkah-langkah ini termasuklah mengekalkan berat badan sihat, sentiasa aktif, mengamalkan diet yang sihat dengan membanyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan tenusu rendah lemak, memilih dan menyediakan makanan rendah kandungan garam dan sodium.


Rawatan 

Amat penting mengambil langkah-langkah untuk memastikan tekanan darah anda terkawal. 

Sasaran bagi tekanan darah adalah bawah 140/90 dan lebih rendah bagi pesakit yang menghidapi penyakit lain seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.

Mengamalkan gaya hidup sihat merupakan langkah pertama paling berkesan dalam mencegah dan mengawal tekanan darah.

Sekiranya perubahan amalan gaya hidup sihat tidak berkesan dalam mengawal tekanan darah anda, adalah sangat perlu bagi anda mengambil ubat-ubatan darah tinggi.


Jenis-jenis ubat darah tinggi

- Diuretik: Membuang garam dan air berlebihan daripada badan

- Penghalang beta: Memperlahankan degup jantung supaya jantung tidak perlu bekerja lebih bagi mengepam darah

- Penghalang saluran kalsium: Mengendurkan saluran darah bagi menghalang kalsium daripada memasuki sel-sel otot

- Perencat enzim menukarkan angiotensin II (ACE): Merencat pembentukan angiotensin II, sejenis hormon yang menyebabkan penyempitan pembuluh darah

- Penghalang penerima angiotensin II (ARB): Menyekat secara langsung kesan-kesan bahaya angiotensin II ke atas pembuluh darah.


Petua-petua agar anda tidak lupa mengambil ubat

- Ambillah ubat pada masa sama setiap hari. Cuba kaitkan dengan sesuatu perkara yang anda sering lakukan seperti memberus gigi.

Sekiranya doktor menyarankan anda mengambil ubat selepas makan, cubalah ambil ubat ketika waktu makan anda setiap hari.

- Catatkan nota. Letakkan nota pada peti sejuk, berdekatan telefon, di kabinet ubat-ubatan atau cermin bilik mandi. Cuba tukarkan nota sekerap mungkin, gunakan warna berlainan bagi menarik perhatian atau alihkan nota ke sudut lain.

- Cuba gunakan bekas khas bagi membantu mengaturkan ubat-ubat anda. Bekas pil ini boleh didapati di kebanyakan farmasi atau kedai ubat.

- Mintalah bantuan ahli keluarga atau rakan. Mereka boleh menjadi sistem sokongan yang kuat. Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan yang juga mengambil ubat, amalan ingat-mengingati adalah sangat baik.

- Jangan lupa mendapatkan bekalan ubat. Setiap kali anda mendapatkan bekalan ubat, catatkan pada kalendar untuk pesanan ubat bulan berikutnya, seterusnya mengambil bekalan ubat seminggu sebelum ubat habis.

No comments:

Post a Comment